Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan « Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya’.
Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur ‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.
Rasulullah S.A.W juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘ jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’.
Alhamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam persatuan kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut. Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh ulama , menerima jawatan adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam. Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada persatuan, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam persatuan. Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pemilihan ajk.
Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri ( enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar. ( Nauzubillah).
Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah S.A.W murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini.
Oleh itu menjadi tanggungjawab semua ahli meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan persatuan di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan persatuan kita.
Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh ahli maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘ walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’. Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga tamat sesi ini.
Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan persatuan, ingatlah akan doa saidina Umar alKhattab “ Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”.

No comments:
Post a Comment