Assalamualaikum kepada semua ahli Perubatan Cawangan Tanta. Dipanjatkan segala kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi peluang untuk menggunakan sepasang paru-paru sebagai organ untuk menyedut oxygen-Nya dan menghembus carbon dioxide-Nya tanpa sebarang kompilasi samada melibatkan respiratory pathways mahupun central respiration, ataupun mengalami pneumonia atau ARDS dan sebagainya, alhamdulillah.
Bermula bulan ini, fenomena baru telah melanda seluruh ahli PCT samada dari peringkat Tahun 5 hinggalah ke pendatang baru iaitu Tahun1. Simptom demam pilihanraya, selsema pilihanraya dan pecah bibir pilihanraya semakin hari semakin berkembang. Fenomena epidemik ini melibatkan kerjasama semua peringkat bagi memilih pemimpin baru untuk menerajui persatuan bagi memimpin pelajar ke arah yang tersusun melalui jalan yang diredhai Allah S.W.T, insya Allah.
Namun apa yang ingin diketengahkan di sini ialah, di samping kita menyibukkan diri dengan berkempen, melobi dan sebagainya untuk hari pencalonan esok (13/11/09) dan hari pengundian seminggu lagi (20/11/09), marilah kita sama-sama mengambil sedikit waktu untuk berkempen dan melobi Palestin supaya dibebaskan. Tidakkah kita terfikir bagaimana keadaan rakyat Palestin yang merupakan saudara kita juga berkempen dan melobi untuk dibebaskan dari anasir Zionis dan sekutunya? Tidakkah kita terfikir bagaimana seksanya mereka kehilangan ibu, bapa dan anak-anak demi kebebasan?
Rasulullah SAW menyuruh umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan membela saudara muslimnya dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika maruahnya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah SWT akan membiarkannya (tidak menolong) ketika dia memerlukan pertolongan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud).
Justeru, di samping berkempen untuk pemilihan AJK PCT 09/10, marilah kita sama-sama berkempen membela saudara muslim kita di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya. Ayuh tingkatkan iman kita dengan berdoa dan solat hajat lebih-lebih lagi di malam Jumaat yang diberkati ini supaya Palestin dibebaskan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Terdetik ketakutan atas kelalaian kita, memandangkan Palestin adalah tanah air kita juga kerana Rasulullah SAW sudah memberi amaran dalam hadis Baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dan menjadi kewajipan umat Islam untuk menyokong Palestin dengan harta, jiwa, ilmu dan kepakaran yang diperlukan bagi sebuah negara Islam merdeka. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15).
Mahukah kita menjadi seperti Palestin, dizalimi dan dibatilkan hak setiap hari? Sudah tentu tidak. Maka seharapnya, dengan pilihanraya pemilihan AJK PCT 09/10 yang semakin hampir, kami menyeru kepada semua ahli PCT untuk menamakan calon-calon yang membawa kepada kebangkitan Islam. Walaupun mungkin antara kita masih ada yang samar mengenai apa relevannya pilihanraya PCT dengan Palestin, namun percayalah Islam itu bermula dari organisasi yang kecil. Yakinlah sekiranya kita ikhlas dalam mencalon dan mengundi mereka yang selayaknya, pasti adanya ganjaran di sisi Allah S.W.T. Undi anda penentu masa depan kita. Permudahkan dan jangan menyukarkan, bersepakat dan jangan berpecah-belah.
Dan, kami tujukan lagu ini untuk semua ahli PCT, semoga hati-hati keras kita dilembutkan dengan panggilan sayu ini.
Penulis : Muhammad Najib bin Sukery (AJK Dokumentasi & Publisiti MTC 09/10)
Penasihat : Mohammad Faqih bin Mohammad Puzi (Penasihat PCT 08/09)
Sumber : http://arefif86.wordpress.com





